Archive for Januari 2007
Jangkamasa Rendering 3D
Salah satu perkara yang paling membosankan berkenaan rekabentuk imej 3 dimensi ialah masa rendering. Masa yang digunakan oleh sesebuah perisian 3D untuk membentuk imej berkualiti atau hasil akhiran kadang kala memakan masa yang cukup lama. Mungkin anda hasilkan objek 3D ringkas dan boleh render dalam beberapa saat, sebaliknya ada yang berjam-jam dan ada yang memakan masa lebih dari sehari untuk menyelesaikan seluruh imej 3D berkenaan. Lebih detail dan realistik sesebuah imej, maka lebih lama masa yang digunakan untuk mendapatkan hasil akhir. Ia juga bergantung kepada kapasiti kepantasan pemprosesan unit pusat (CPU) dan penggunaan memori yang berat… komputer yang digunakan memainkan peranan utama untuk mendapatkan proses rendering yang pantas.

Contoh objek 3D diatas mengambil masa lebih 10 minit untuk selesai proses rendering. Cuba anda bayangkan pula jika imej-imej lain yang lebih detail, Berapa banyak masa yang diperlukan agaknya…?
Add comment 21 Januari, 2007
Game Rekreasi Coral Fishing

Coral Fishing ialah game yang dibangunkan oleh aku sendiri dengan bertemakan kawasan laut yang penuh dengan ikan-ikan batu karang. Ianya dihasilkan disebabkan minat yang mendalam dalam dunia memancing ikan tetapi masa yang terhad tidak mengizinkan aku untuk melakukan aktiviti berkenaan. Game ini amat mudah untuk dimainkan seperti mana kita memancing di laut, tasik, kolam, sungai dan sebagainya. Anda hanya perlu meletakkan mata kail pada kedalaman yang anda rasakan sesuai, dan tunggu ikan untuk memakan umpan anda. Apabila ikan memakan umpan anda, bolehlah menarik kembali mata kail berkenaan untuk menyimpan ikan berkenaan dalam bot anda.
Terdapat pelbagai jenis ikan untuk dipancing dan dengarkan muzik yang menarik sambil berekreasi dalam game yang amat mudah ini. Harus diingat tujuan game ini dibina ialah untuk memberikan ketenangan dan keseronokan dalam dunia pancing memancing. Anda tidak lagi perlu bersusah payah berjemur dalam terik matahari untuk memancing ikan batu karang… apa yang perlu hanya duduk di depan komputer anda.

Game berbentuk rekreasi ini telah dibangunkan pada pertengahan tahun 2006 dengan menggunakan bahasa pengaturcaraan Just BASIC. Selain itu, imej-imej dalam game berkenaan dihasilkan dengan perisian 3D Anim8or, ACDC dan sumber-sumber luaran lain. Anda boleh muat turun game ini di dalam website Worblesoft pada ruangan pautan di sebelah. Nantikan kemunculan lain-lain game yang aku akan review (tak semestinya game buatan aku sendiri… hehehe) dari semasa ke semasa.
Add comment 20 Januari, 2007
Torque Game Builder

Okey, kali ini kita bercerita mengenai salah satu daripada alatan pembangunan game yang panas dalam pasaran. Seperti yang anda ketahui, nak membina game nie bukan mudah. Oleh itu, kita perlukan alatan yang sesuai dan mudah digunakan untuk menjimatkan masa pembangunan game selain dapat juga mengurangkan tekanan dan mimpi ngeri anda (sebab kena buat kod yang panjang… hehehe). Berbalik kepada Torque Game Builder ni, ianya adalah sebuah perisian yang dikhaskan untuk menghasilkan apa sahaja genre permainan termasuklah Puzzle, Arcade, Sports, Racing, FPS, RPG, RTS dan sebagainya. Ianya adalah dihasilkan oleh syarikat Garage Games yang juga turut menawarkan produk diorang yang terdiri daripada Torque Game Engine, Torque Shade Engine dan alatan-alatan plug-in yang lain.

Selain itu, apa yang menarik perhatian ialah Torque Game Engine ini mampu menghasilkan apa sahaja permainan sama ada secara kasual mahupun secara komersial, dalam bentuk 2D mahupun 3D. Ianya menyokong beberapa platform dan boleh dimainkan dalam persekitaran Windows, OSX dan X-Box360. Malahan jika anda adalah pengaturcara yang menguasai bahasa pengaturcaraan C++ dan TorqueScript, ini akan memberikan kelebihan utama bagi anda membangunkan game dengan lebih mudah dan kreatif.

Seperti kata mereka, kebanyakan studio game menggunakan produk yang dihasilkan kerana keupayaannya yang pantas dan efisien. Kita tidak perlu bimbang dengan objek-objek yang diperlukan kerana anda juga boleh membeli objek-objek 3D yang sudah siap dibina dengan bermacam-macam jenis Content Packs bergantung kepada keperluan dalam game yang ingin dihasilkan.

Saya amat tertarik sekali dengan Torque Game Engine ini disebabkan ia adalah satu-satunya produk yang berani menyatakan keupayaan membina Real-Time Strategy Game yang jarang-jarang terdapat pada lain-lain perisian pembangunan game. Ianya boleh dibina dengan adanya RTS Starterkit. Ia perlu diperolehi secara berasingan kerana tidak disertakan dalam pakej asas Torque Game Engine berkenaan. Sekiranya anda berminat, bolehlah mencuba versi percubaan selama 30 hari untuk mengalami sendiri kuasa perisian ini.

Untuk maklumat lanjut boleh lawat ke website GarageGames
3 comments 17 Januari, 2007
Lagi dan Lagi 3D
Buat permulaan, jika kita belajar membuat rekabentuk grafik 3D mestilah bermula dengan objek-objek asas. Daripada asas inilah membentuk bermacam-macam imaginasi yang tiada had. Kali ini mari kita lihat imej-imej 3D yang dah dihasilkan dengan perisian Anim8or. Semua imej ini adalah berasal daripada objek ringkas seperti sfera, silinder dan sebagainya. Anda juga boleh menghasilkan sendiri objek-objek 3D ini dengan mudahnya. Apa yang perlu ialah sedikit latihan, tutorial dan imaginasi anda.




Banyak perkara lagi yang perlu saya belajar untuk menghasilkan model-model 3D yang jauh lebih realistik. Mungkin alatan yang saya gunakan mempunyai limitasi yang agak membataskan fungsi-fungsi 3D yang lain. Anim8or adalah satu perisian yang baik untuk mereka yang ingin mendalami asas pengkaryaan 3D. Mungkin suatu hari nanti saya akan beralih kepada perisian yang lebih berkuasa untuk mengasahkan lagi skill rekabentuk 3D.
Add comment 16 Januari, 2007
Rekabentuk Objek 3D Ringkas

Robot Ketam 3D Edisi Khas
Sedikit kemahiran membuat rekabentuk objek 3-dimensi kadang kala akan dapat membantu mempercepatkan proses pembangunan sesebuah game. Ini sebenarnya dapat menjimatkan masa selain boleh mengasah skill seseorang pengaturcara yang ada. Permainan bercorak 3D memang memerlukan bantuan modeller yang benar-benar mahir untuk berjaya. Biasanya modeller akan menumpukan kepada rekabentuk unik dan menawan sebelum diintegrasikan dalam enjin game 3D berkenaan. Seperti objek yang baru dilukis di atas menggunakan program Anim8or, penggunaan warna, pencahayaan dan struktur asas amat penting untuk merealisasikan watak-watak atau karektor dalam sebuah game. Apa-apa pun, saya tengah belajar membentuk grafik 3D nie… diharap sesiapa yang pakar boleh tolong ajarkan.
Kerja membentuk grafik 3D ni memerlukan sedikit kesabaran dan ketekunan untuk memberikan hasil yang bermutu. Ramai di kalangan rakyat Malaysia sebenarnya amat berbakat dalam pengolahan idea kreatif dalam grafik 3D ini, mungkin kurang pendedahan dan promosi menyebabkan mereka lebih suka untuk menjadikan hobi ini hanya sebagai mengisi masa lapang.
Add comment 15 Januari, 2007